Sambutan Israk Mikraj pada 08 Februari 2024 bersamaan 27 Rejab 1445H adalah satu peristiwa penting bagi umat Islam. Peristiwa paling agung dalam sejarah Islam ini, dianggap sebagai satu anugerah daripada ALLAH SWT.
Israk Mikraj memperlihatkan bahawa kekuasaan ALLAH SWT mengatasi peraturan kebiasaan alam. Bayangkan, perjalanan yang biasanya memakan tempoh sebulan pergi dan sebulan pulang, hanya berlaku pada waktu separuh malam sahaja. Israk Mikraj bukan sahaja membuktikan kuasa ALLAH SWT, tetapi turut menjadi bukti kepentingan Baitul Maqdis.
ALLAH SWT merakamkan kisah Israk dan Mikraj dalam al-Quran, dalam dua surah yang berlainan, iaitu surah al-Isra’ dan surah al-Najm. Surah al-Isra’ menceritakan tentang peristiwa Israk:
Maksudnya: “Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jugalah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Isra’ 17:1)