TAHNIAH ATAS PERLANTIKAN SEBAGAI KPKR JKR MALAYSIA

25 Jun 2024 (Selasa) – Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Dato’ Ir. Roslan Bin Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Pelantikan KPKR adalah selaras dengan Perkara 139(4) Perlembagaan Persekutuan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan pelantikan YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kerja Raya berkuat kuasa pada 25 Jun 2024.
Watikah pelantikan YBhg. Dato’ Ir. Roslan Bin Ismail telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara dan disusuli dengan sidang media bersama Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya di Parlimen Malaysia. Majlis Penyerahan Watikah Kementerian Kerja Raya telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, pada hari yang sama.
YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail memiliki Sarjana Pengurusan Projek dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan mempunyai pengalaman yang luas selama 29 tahun terutama dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projek awam yang berimpak tinggi. Beliau pernah memegang jawatan strategik antaranya Jurutera Daerah, Pengarah JKR Negeri, Pengarah Pembinaan dan Pengarah Kanan sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Kerja Raya.
Setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail atas pelantikan ini. Seluruh warga JKR Malaysia akan memberikan komitmen penuh kepada YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail sebagai KPKR JKR Malaysia dalam menerajui JKR ke arah kecemerlangan serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan.