ISNIN | 17 MAC 2025 – Majlis Sukan JKR Negeri Kedah bersama dengan kelab gabungan cawangan/daerah telah menganjurkan satu Program Bubur Lambuk Perdana sempena Ramadan tahun 1446H/2025, yang diadakan di JKR Setor Fasiliti & Penyelenggaraan Jalan, Pantai Johor, Kedah.
Majlis ini dimulakan pada jam 9.00 pagi dan dihadiri oleh wakil-wakil daripada Kelab Gabungan/Cawangan dari setiap daerah dan bahagian JKR Negeri Kedah. Pada tahun ini, Kelab Sukan dan Kebajikan JKR Daerah Yan bersama dengan Kelab Sukan dan Kebajikan JKR Daerah Pendang telah berganding bahu untuk menjayakan program Bubur Lambuk Perdana yang dianjurkan oleh Majlis Sukan JKR Negeri Kedah.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Tuan Pengarah JKR Negeri Kedah selaku Yang DiPertua Majlis Sukan JKR Negeri Kedah, bersama dengan barisan pengurusan tertinggi serta AJK Majlis Sukan JKR Negeri Kedah, serta ahli-ahli Kelab Gabungan/Cawangan/Daerah JKR Negeri Kedah.
Alhamdulillah, Kelab Gabungan JKR Yan dan JKR Pendang telah berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Bubur Lambuk Paling Sedap, setelah mereka melakukan inovasi dengan memperkenalkan Bubur Lambuk ‘Seafood’ yang penuh dengan kelainan pada tahun ini. Tidak dilupakan juga, tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang telah berjaya dalam setiap kategori yang dipertandingkan.
Segala penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.