YAN, KEDAH – Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Yan, Kedah, pada 27 Februari 2025 (Khamis) telah kehilangan seorang tokoh yang amat dihormati dalam sektor perkhidmatan awam apabila Ir. Sharudin Bin Halim, BCK, Ketua Jabatan JKR Daerah Yan, mengakhiri perkhidmatan cemerlang beliau setelah lebih tiga dekad berbakti. Beliau bersara dengan penuh dedikasi setelah melaksanakan tugas-tugasnya dengan amat baik di pelbagai peringkat sepanjang tempoh 32 tahun 5 bulan dalam perkhidmatan awam.
Ir. Sharudin memulakan kerjaya beliau sebagai Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Tanah Baling pada 1 September 1992. Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Tanah dan Galian sebelum beralih ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah sebagai Penolong Jurutera pada 18 Mei 2003. Dalam perjalanan kerjaya beliau yang penuh dedikasi, Ir. Sharudin telah berkhidmat di pelbagai lokasi dan jawatan, antaranya sebagai Jurutera Awam di JKR Pendang/Yan, Politeknik Sultan Abdul Halim, serta beberapa cawangan utama JKR termasuk di ibu pejabat JKR Kuala Lumpur dan JKR Kota Setar/Padang Terap.
Pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Jurutera Awam Kanan di JKR Perlis dan seterusnya kembali ke JKR Yan sebagai Jurutera Daerah pada 18 Ogos 2020. Di bawah pimpinan beliau, JKR Daerah Yan telah mencatatkan banyak kejayaan dan pengiktirafan dalam aspek pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan projek kerajaan di daerah ini.
Dengan pengalaman yang luas dan komitmen tinggi, Ir. Sharudin Bin halim, BCK telah banyak menyumbang kepada peningkatan kualiti kerja awam serta pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat. Kepimpinan beliau yang profesional, berintegriti, dan penuh dedikasi telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat serta organisasi di bawah naungannya.
Ir. Sharudin Bin Halim, BCK telah menjadi contoh teladan kepada penjawat awam muda dan menjadi inspirasi dalam menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beretika. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang memiliki kepakaran teknikal yang tinggi serta sikap kepimpinan yang memberi ruang kepada pasukan untuk berkembang.
Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, JKR Daerah Yan telah mengadakan majlis penghargaan bagi menghormati sumbangan serta jasa beliau sepanjang perkhidmatan. Kepada Ir. Sharudin Bin Halim, BCK, seluruh warga kerja JKR dan masyarakat setempat mengucapkan selamat bersara dan semoga beliau terus sukses dalam segala perancangan dan kehidupan yang akan datang.
Dengan berakhirnya perkhidmatan beliau, Ir. Sharudin Bin Halim, BCK meninggalkan legasi yang tidak ternilai kepada Jabatan Kerja Raya dan negara, sebagai penjawat awam yang sentiasa memberikan khidmat terbaik sepanjang kerjaya beliau.
Ikhlas daripada seluruh warga JKR Daerah Yan, Kedah.