
Sambutan Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadan 1447H bersamaan 7 Mac 2026 merupakan satu peristiwa agung dalam sejarah Islam. Peristiwa ini memperingati turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW sebagai tanda bermulanya penyampaian risalah Islam kepada seluruh umat manusia.
Nuzul Al-Quran adalah anugerah terbesar daripada ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Kitab suci Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk, rahmat dan pembeza antara yang hak dan batil. Ia menjadi panduan lengkap dalam membentuk akidah, ibadah, akhlak serta sistem kehidupan yang seimbang di dunia dan akhirat.
Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku ketika Rasulullah SAW beribadah di Gua Hira’, apabila malaikat Jibril AS menyampaikan wahyu pertama daripada ALLAH SWT. Wahyu tersebut dirakamkan dalam Surah al-‘Alaq:
Maksudnya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah al-‘Alaq 96:1–5)
ALLAH SWT turut menjelaskan tentang penurunan Al-Quran dalam bulan Ramadan sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah:
Maksudnya:
“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk serta menjadi pembeza (antara yang benar dan yang salah).”
(Surah al-Baqarah 2:185)
Sesungguhnya Nuzul Al-Quran mengingatkan kita bahawa Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk difahami, dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan. Semoga peristiwa penuh keberkatan ini menjadi pemangkin untuk kita memperkukuh keimanan serta melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan tanggungjawab.