MAJLIS PENYERAHAN SURAT SETUJU TERIMA (SST) KEPADA KONTRAKTOR BERJAYA BAGI PROJEK PEMBINAAN BILIK DARJAH TAMBAHAN TAHUN 1 SESI 2027 DI NEGERI KEDAH
ALOR SETAR, 21 Jun 2026 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Yan telah menghadiri Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) yang berlangsung pada hari Ahad, 21 Jun 2026 jam 12.30 tengah hari di Dewan Persidangan, Tingkat 12, Bangunan Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah JKR Negeri Kedah, Ir. Mohd Fisal bin Ismail, BCN, serta turut dihadiri oleh Jurutera Awam Penguasa Bangunan, Ir. Andy Surin A/L Khoo Ah Chai, bersama Jurutera-Jurutera Daerah JKR yang terlibat dengan pelaksanaan Projek Pembinaan Bilik Darjah Tambahan Tahun 1 Sesi 2027 di Negeri Kedah.
Majlis ini diadakan bagi menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya dilantik untuk melaksanakan projek-projek Pembinaan Bilik Darjah Tambahan Tahun 1 Sesi 2027 di Negeri Kedah. Penyerahan SST ini merupakan langkah penting dalam memastikan pelaksanaan projek dapat dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memenuhi keperluan infrastruktur pendidikan yang semakin meningkat.
Melalui majlis ini, para kontraktor yang berjaya telah menerima dokumen rasmi pelantikan sebagai pengesahan penerimaan tawaran untuk melaksanakan projek yang telah dianugerahkan. Penyerahan SST juga memberi peluang kepada pihak kerajaan dan kontraktor untuk memperkukuhkan kerjasama strategik serta memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi, standard kualiti dan tempoh yang telah ditetapkan.
Dalam ucapan beliau, Pengarah JKR Negeri Kedah menekankan kepentingan pelaksanaan projek secara terancang, berintegriti dan menepati jadual agar kemudahan pendidikan yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh murid-murid dan warga sekolah menjelang sesi persekolahan yang dirancang.
JKR Daerah Yan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses perolehan dan penilaian sebut harga sehingga berjaya memilih kontraktor yang berkelayakan bagi melaksanakan projek-projek tersebut.
Tahniah diucapkan kepada semua kontraktor yang berjaya menerima Surat Setuju Terima (SST). Semoga setiap projek yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya mengikut skop, kualiti dan tempoh yang ditetapkan.
Ikhlas daripada,
Jurutera Daerah
JKR Daerah Yan
Sumber : ICT JKR Daerah Yan