KKR PERKASA KESELAMATAN JALAN RAYA MENERUSI PROGRAM CAKNA MADANI 2026

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2026 – Di sebalik setiap papan tanda amaran dan setiap selekoh berisiko, tersimpan harapan agar tiada lagi nyawa menjadi korban akibat kemalangan jalan raya. Berpandukan analisis data serta penilaian teknikal, Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) terus mempergiat usaha menambah baik lokasi-lokasi berisiko tinggi menerusi Program Cakna MADANI 2026.

Usaha tersebut diperkukuhkan dengan penyempurnaan Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) Program Cakna MADANI 2026 oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, sebagai simbol komitmen kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Program ini dilaksanakan menggunakan pendekatan Road Assessment Maintenance System (RAMS) yang mengenal pasti lokasi-lokasi kritikal berdasarkan data kemalangan dan penilaian teknikal. Melalui konsep “Cepat Siap, Cepat Manfaat”, kerja-kerja penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas agar manfaatnya segera dirasai oleh pengguna jalan raya.

Bagi tahun 2026, sebanyak 94 lokasi di 11 negeri melibatkan 36 daerah telah dikenal pasti untuk dinaik taraf. Daripada jumlah tersebut, 77 lokasi Blackspot akan menerima kerja-kerja penambahbaikan dengan peruntukan sebanyak RM27.85 juta, manakala 17 lokasi Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) akan dibangunkan dengan kos RM5.20 juta bagi meningkatkan keselamatan pejalan kaki.

Dalam majlis yang sama, KKR turut menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada 32 kontraktor bagi pelaksanaan Fasa 2 Program Blackspot. Penghargaan turut diberikan kepada kontraktor-kontraktor Fasa 1 dan Program LPKSI yang telah berjaya menyiapkan projek mengikut jadual, spesifikasi serta piawaian yang ditetapkan.

Video temu bual di lokasi Blackspot yang dipaparkan bersama artikel ini memberikan gambaran sebenar mengenai keadaan di lapangan serta kepentingan pelaksanaan projek-projek keselamatan jalan raya. Inisiatif ini membuktikan bahawa setiap penambahbaikan yang dilaksanakan bukan sekadar pembangunan fizikal, malah merupakan satu pelaburan untuk melindungi nyawa dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

KKR akan terus komited memperkasakan infrastruktur negara melalui penyelesaian yang berimpak tinggi, sekali gus memastikan rangkaian Jalan Persekutuan kekal selamat, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

SUMBER : Unit ICT JKR Daerah Yan, Kedah.