CABUTAN UNDI 45 KERJA PENYENGGARAAN JALAN BERNILAI RM26.98 JUTA UNTUK KONTRAKTOR KECIL BUMIPUTERA G1-G4 PERLIS, KEDAH DAN PULAU PINANG

     

LANGKAWI, KEDAH – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia hari ini telah menyaksikan proses Cabutan Undi bagi Tawaran Kerja Pelaksanaan dan Penyenggaraan Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia yang merupakan sebahagian dari Inisiatif Bajet 2024 Bagi Kontraktor Kecil Bumiputera G1 hingga G4. Turut hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad.
2. Program ini telah dimulakan pada tahun 2023 menerusi inisiatif Peruntukan Belanjawan Tambahan 2023 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di mana sebanyak RM300 juta peruntukan telah dikhususkan untuk Kontraktor G1-G4 yang melibatkan 491 kerja atau projek.
3. Pelaksanaan kaedah tersebut telah berjaya memberi impak positif dimana kontraktor G1-G4 dapat melibatkan diri dalam kerja-kerja pembaikan infrastruktur Jalan Persekutuan selari dengan komitmen Kerajaan untuk membantu kontraktor kecil dan sederhana.
4. Sebagai kesinambungan kepada program tersebut, Pihak Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan bernilai RM300 juta dalam Belanjawan 2024 bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan yang akan dikendalikan oleh Kontraktor G1 hingga G4 Di Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia.
5. Kerja-kerja penyenggaraan ini ditawarkan kepada kontraktor dari gred G1 hingga G4 melalui kaedah cabutan undi. Berdasarkan peruntukan yang diterima, sebanyak RM200 Juta bagi 336 kerja akan ditawarkan kepada kontraktor di Semenanjung Malaysia, manakala selebihnya iaitu RM100 juta yang melibatkan 122
kerja akan disalurkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.
6. Majlis cabutan undi pada hari ini melibatkan kerja-kerja di Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dengan peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM 26.98 juta dan melibatkan 45 kerja. Kerja-kerja yang ditawarkan perlu disiapkansepenuhnya pada tahun 2024 dan mestilah mengikut spesifikasi, kualiti dan jadual
pelaksanaan yang telah ditetapkan.
7. Wadah dan kaedah cabutan undi ini terbukti dapat memastikan syarikat kontraktor G1 – G4 yang terpilih mampu membekal bahan dan memberikan perkhidmatan yang lebih kompetitif.
8. JKR akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dan penilaian tersebut akan dijadikan asas samada kontraktor berkenaan layak untuk dipertimbangkan dalam proses pemberian kerja di masa hadapan.
9. Menteri Kerja Raya berharap supaya semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program ini, memberikan penekanan kepada aspek mutu kualiti terutama dari segi kos dan masa dan mengutamakan keselamatan di kawasan kerja.
Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan kualiti pembinaan dan penyenggaraan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR.
Sumber: Kementerian Kerja Raya