LAWATAN KERJA OLEH TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA YB DATUK SERI DR. AHMAD MASLAN KE PROJEK MASJID TERAPUNG DAERAH YAN, KEDAH DARUL AMAN
YAN, 27 MAC 2026 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Menyiapkan Baki Kerja Pembinaan Masjid Terapung di Daerah Yan bagi meninjau perkembangan semasa pelaksanaan projek tersebut.
Projek ini kini berada pada peringkat akhir pelaksanaan dengan kemajuan fizikal mencapai 98.6%, sekali gus menunjukkan pembinaan ini hampir siap sepenuhnya.
Projek yang dilaksanakan di bawah seliaan Pegawai Penguasa, Jurutera Daerah JKR Daerah Yan ini melibatkan kos anggaran sebanyak RM12.9 juta. Pembinaannya bertujuan menyediakan kemudahan ibadah yang selesa, selamat dan berkualiti kepada masyarakat setempat dengan kapasiti kira-kira 1,200 jemaah pada satu-satu masa. Selain itu, masjid ini juga berpotensi menjadi tarikan baharu serta lokasi persinggahan bagi para pelancong untuk menunaikan ibadah di Daerah Yan.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah Kerja Raya Negeri Kedah, YBrs. Ir. Mohd Fisal bin Ismail; Jurutera Daerah Yan, YBrs. Ir. Norashikin binti Haron; serta pegawai-pegawai kanan JKR Malaysia, JKR Negeri Kedah dan wakil agensi berkaitan.
Untuk makluman, projek ini sebelum ini telah melalui fasa penamatan kontrak pada tahun 2021 berikutan isu pelaksanaan. Walau bagaimanapun, kesinambungan projek berjaya diteruskan melalui pelantikan kontraktor penyiap, Maju Merge Resources Sdn. Bhd. pada tahun 2023. Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan dipantau secara rapi bagi memastikan pematuhan terhadap spesifikasi serta standard kualiti yang ditetapkan.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada seluruh warga JKR Daerah Yan serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan usaha berterusan dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan teratur dan lancar.
Sumber: JKR Daerah Yan











