MAJLIS PENYERAHAN SURAT SETUJU TERIMA, PELANTIKAN WAKIL PEGAWAI PENGUASA DAN MESYUARAT PRA-PEMBINAAN (3 DALAM 1) BAGI KERJA-KERJA PENYENGGARAAN, PEMBAIKAN DAN NAIKTARAF BANGUNAN DI BLOK RMKe-9, DEWAN KULIAH AL-FARABI, LAPAN (8) BLOK KOLEJ KEDIAMAN, PEJABAT KOLEJ KEDIAMAN DAN RUMAH REHAT WANITA SERTA KERJA-KERJA YANG BERKAITAN DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS SULTAN ABDUL HALIM, SUNGAI PETANI, KEDAH DARUL AMAN

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima, Pelantikan Wakil Pegawai Penguasa Dan Mesyuarat Pra-Pembinaan (3 Dalam 1) Bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan, Pembaikan Dan Naiktaraf Bangunan Di Blok RMKe-9, Dewan Kuliah Al-Farabi, Lapan (8) Blok Kolej Kediaman, Pejabat Kolej Kediaman Dan Rumah Rehat Wanita Serta Kerja-Kerja Yang Berkaitan Di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah Darul Aman telah diadakan dengan jayanya pada 11 Julai 2024 (Ahad) jam 2.30 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Bahagian Bangunan, JKR Negeri Kedah. Harga kontrak bagi projek ini adalah berjumlah RM22,904,087.00.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Mohd Fisal Bin Ismail, BCN., Pengarah JKR Negeri Kedah merangkap Penolong Pengurus Program dan Pegawai Penguasa bagi projek ini. Selain itu, turut hadir bersama adalah wakil Pengurus Program dari Bahagian Fasiliti Bangunan Pendidikan Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, Jurutera Awam Penguasa Bangunan JKR Negeri Kedah selaku Ketua Pasukan Projek (HOPT), Juruukur Bahan Penguasa JKR Negeri Kedah, Jurutera Daerah Kuala Muda serta seluruh Pasukan Projek PPUN JKR Negeri Kedah termasuk Kontraktor yang berjaya, iaitu Sri Budinar Solution Sdn. Bhd.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima kepada Kontraktor yang berjaya. Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi penyerahan Pelantikan Wakil Pegawai Penguasa kepada Jurutera Daerah Kuala Muda diikuti dengan Mesyuarat Pra Pembinaan Projek.

Projek ini telah diluluskan untuk pelaksanaan oleh Bahagian Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan Malaysia pada 22 Januari 2024 di mana Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan Kementerian Pelanggan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah selaku pengguna. Projek ini telah diiklan pada 18 Februari 2024. Objektif pelaksanaan projek ini adalah untuk menaiktaraf dan menyenggara bangunan pendidikan agar suasana yang kondusif dan selesa dapat diberikan kepada warga pendidik dan pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Diharapkan projek ini dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya seluruh Pasukan Projek PPUN JKR Negeri Kedah di dalam merealisasikan harapan dan objektif projek ini. Semoga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya mengikut kos, kualiti dan tempoh yang ditetapkan selaras dengan aspirasi Pembangunan Negara.