MAJLIS PERASMIAN KURSUS PENYELIAAN TAPAK SESI 1/2026 ZON UTARA

Majlis Perasmian Kursus Penyeliaan Tapak Sesi 1/2026 Zon Utara telah disempurnakan pada 7 April 2026 bertempat di Dewan Persidangan, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infrastruktur). Turut hadir, YBhg. Ir. Dr. Sherliza binti Zaini Sooria, Pengarah Kanan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), serta YBrs. Ir. Mohd Fisal bin Ismail, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, bersama barisan Ketua-ketua Bahagian, Jurutera-jurutera Daerah, urusetia, penceramah dan para peserta kursus. Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari ini melibatkan penyertaan pegawai dari JKR Negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, bertujuan memperkukuh kompetensi Pegawai Tapak Bina (PTB) dalam aspek penyeliaan projek, pematuhan spesifikasi, kawalan mutu, dokumentasi serta pengurusan risiko secara sistematik dan berintegriti. Penganjuran kursus ini merupakan inisiatif berterusan Jabatan dalam memperkasa pembangunan bakat dan kompetensi warga kerja selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berteraskan nilai integriti. Adalah diharapkan agar semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya kursus ini dalam meningkatkan kecekapan dan profesionalisme, seterusnya memastikan penyampaian projek yang berkualiti, menepati tempoh masa serta kos yang ditetapkan.