YAN, 5 Jun 2026 – Satu Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Pembinaan Masjid Terapung di Daerah Yan, Kedah telah diadakan dengan jayanya bertempat di Masjid Terapung Yan, Kedah.
Majlis tersebut telah disempurnakan dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Haji Zepri Bin Saad, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah; Yang Berusaha Ir. Mohd Fisal Bin Ismail, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah; Yang Berusaha Tuan Ahmad Fuad Bin Che Ani @ Abd. Ghani, Pegawai Daerah Yan merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Yan; serta Yang Berusaha Dr. Hj. Abdul Rahim Bin Hj. Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam Negeri Kedah. Turut hadir ialah Encik Mokhairuddin bin Mahamad, Penghulu Mukim Yan bersama dif-dif kehormat, ketua-ketua jabatan, wakil agensi serta para jemputan yang lain bagi memeriahkan majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah dan Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
Turut diadakan tayangan montaj berkaitan pelaksanaan projek pembinaan Masjid Terapung Yan yang memaparkan perkembangan serta pencapaian projek sehingga berjaya disiapkan.
Kemuncak majlis menyaksikan sesi menandatangani dokumen penyerahan projek melibatkan pihak Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Jabatan Kerja Raya Daerah Yan dan pihak kontraktor, Maju Merge Resources Sdn. Bhd., disaksikan oleh tetamu kehormat yang hadir.
Majlis turut diserikan dengan upacara simbolik penyerahan replika kunci sebagai tanda penyerahan rasmi projek daripada pihak kontraktor kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah sebelum diserahkan kepada pihak pelanggan.
Selain itu, sesi penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan turut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pihak-pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan projek pembinaan Masjid Terapung Yan ini.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan minum petang bersama para jemputan.
Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Yan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua tetamu kehormat, jabatan dan agensi yang hadir serta seluruh warga kerja Jabatan Kerja Raya Daerah Yan yang telah memberikan komitmen, kerjasama dan sokongan padu dalam menjayakan Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Pembinaan Masjid Terapung di Daerah Yan, Kedah pada hari tersebut.
Semoga segala usaha dan kerjasama yang diberikan dapat memperkukuhkan hubungan antara agensi serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek-projek pembangunan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Kredit: JKR Daerah Yan








