MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PUSAT DARAH WILAYAH UTARA, SUNGAI PETANI, KEDAH
10 Julai 2026 | Sungai Petani, Kedah
Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan Majlis Penyerahan Projek Pusat Darah Wilayah Utara, Sungai Petani, Kedah pada 10 Julai 2026 sebagai simbolik penyerahan rasmi kemudahan tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Majlis telah disempurnakan dengan kehadiran Datin Paduka Roslinah binti Md. Jani, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia, bersama Ir. Maria binti Marcus, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), serta barisan pengurusan tertinggi KKM, JKR Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Pasukan Projek Persekutuan Negeri Kedah dan pihak kontraktor.
Projek bernilai RM49,866,232.00 ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia selaku agensi pelaksana bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala Pasukan Projek Persekutuan Negeri Kedah bertindak sebagai Wakil Pengarah Projek dalam menyelia pelaksanaan projek. Projek secara Reka dan Bina ini telah dilaksanakan oleh MEC JATI Consortium Sdn. Bhd.
Projek ini berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh kontrak apabila Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion – CPC) dikeluarkan pada 23 Februari 2026, iaitu lima (5) hari lebih awal daripada tarikh siap kontrak. Kejayaan ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan projek disiapkan mengikut skop, kos, tempoh masa serta piawaian kualiti yang ditetapkan.
Pusat Darah Wilayah Utara dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk ruang pendermaan darah, makmal pemprosesan dan penyimpanan darah serta makmal saringan darah penderma yang direka bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan transfusi darah. Kemudahan ini turut menyediakan sebanyak 252 petak parkir untuk kakitangan dan pelawat serta enam (6) petak parkir khas Orang Kurang Upaya (OKU).
Lebih membanggakan, projek ini berjaya memenuhi KPI Ketua Pengarah Kerja Raya melalui pencapaian Penyerahan Projek 5 Dalam 1, yang merangkumi:
• Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC);
• Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
• Operation & Maintenance Manual (OMM);
• Zero Lost Time Injuries (Zero LTI); dan
• Penyiapan projek lebih awal daripada tempoh kontrak.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen serta kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Pasukan Projek Persekutuan Negeri Kedah, MEC JATI Consortium Sdn. Bhd. dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan penyampaian projek pembangunan kerajaan dilaksanakan secara cekap, berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan.
JKR Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen sepanjang pelaksanaan projek ini. Semoga Pusat Darah Wilayah Utara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh perkhidmatan pendermaan darah, pemprosesan, penyimpanan dan pengurusan bekalan darah, seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di Wilayah Utara.
“JKR: Merealisasikan Aspirasi Pembangunan Negara.”









