Satu lagi mercu tanda kejayaan berjaya direalisasikan!
Pada 10 Julai 2026, telah berlangsung Majlis Penyerahan Projek Baki Menyiapkan Dewan Serbaguna yang diadakan di Dewan Al-Amin, Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Utara (INTURA), Sungai Petani, Kedah. Majlis ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang telah menyaksikan simbolik penyerahan projek, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan disiapkan dengan berkualiti, menepati masa dan memberi manfaat kepada rakyat. Projek ini merupakan hasil kerjasama strategik yang erat antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam merealisasikan penyediaan kemudahan yang moden, selesa dan berkualiti. Siapnya dewan ini bukan sahaja menambah baik fasiliti latihan INTURA, malah menyediakan ruang serbaguna yang mampu menyokong pelbagai program pembangunan modal insan, seminar, kursus serta aktiviti komuniti. Majlis turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi serta warga kerja JPA dan JKR yang telah memainkan peranan penting sepanjang pelaksanaan projek ini. Kejayaan ini merupakan hasil komitmen, kerjasama dan dedikasi semua pihak yang terlibat dari peringkat perancangan sehingga projek berjaya disiapkan dan diserahkan. Sekalung tahniah kepada INTURA atas penerimaan kemudahan baharu ini. Semoga Dewan Serbaguna ini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin kecemerlangan pembangunan modal insan serta menjadi simbol kejayaan kolaborasi strategik antara JPA dan JKR dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada negara.








