Jitra, Kedah | 24 Ogos 2026
Telah berlangsung Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Fasiliti Latihan Jabatan Teknologi Tekstil di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Rahimi bin Ismail, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan bersama Yang Berbahagia Ir. Maria binti Marcus, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Jabatan Kerja Raya. Projek dengan nilai kontrak berjumlah RM1,577,000.00 ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Kubang Pasu dengan skop kerja melibatkan kerja-kerja menaiktaraf fasiliti latihan di Blok A dan Blok B, termasuk Bilik Bengkel Jahitan 1 dan 2, Bilik Sulam Komputer & Laser Engraving, Bilik Inkubator, Bilik Fail, Bilik Persediaan Mengajar, Stor Pakaian, Smart Classroom serta kemudahan tandas lelaki dan perempuan. Projek ini telah mendapat Tarikh Milik Tapak pada 15 Jun 2025 dan berjaya memperoleh Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 13 Ogos 2026, iaitu 13 hari lebih awal daripada tarikh siap kontrak selepas mengambil kira lanjutan masa (EOT). Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Berusaha Ar. Abd Syukur bin Ismail, Pengarah Cawangan Kerja Bangunan Am 2; Yang Berusaha Ir. Mohd Fisal bin Ismail, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah; Yang Berusaha Puan Zakiah binti Mat Jali, Timbalan Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan; Yang Berusaha Ir. Ahmad Shahril Azli bin Idris, Jurutera Daerah JKR Daerah Kubang Pasu; serta Yang Berusaha Puan NorHazita binti Kamaludin, Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah. Penyempurnaan projek ini mencerminkan komitmen Jabatan Kerja Raya dalam memastikan penyediaan fasiliti yang berkualiti, selamat dan kondusif bagi menyokong pembangunan kemahiran serta pendidikan teknikal belia.






