MAJLIS PENYERAHAN PROJEK BANGUNAN KLINIK PERGIGIAN BUKIT SELAMBAU

𝟭𝟮 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – 𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗘𝗥𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗣𝗥𝗢𝗝𝗘𝗞 𝗕𝗔𝗡𝗚𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗟𝗜𝗡𝗜𝗞 𝗣𝗘𝗥𝗚𝗜𝗚𝗜𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗞𝗜𝗧 𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗕𝗔𝗨
Satu lagi kejayaan bermakna dalam pembangunan infrastruktur kesihatan negara telah direalisasikan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia menerusi Majlis Penyerahan Bangunan Klinik Pergigian Bukit Selambau kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah berlangsung pada 12 September 2026.
Majlis penuh makna ini telah dihadiri oleh Pengarah JKR Kedah, Ir. Mohd Fisal bin Ismail, Jurutera Daerah JKR Kuala Muda merangkap Pegawai Penguasa, Ir. Mohd Fairoze Mazly bin Zulkifli, serta pegawai – pegawai JKR yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan projek tersebut. Turut hadir mewakili agensi pelanggan ialah En. Mohd Nizam bin Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Bahagian (Pembangunan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah serta Pegawai Pergigian Daerah. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran wakil Kontraktor Utama, Emas Kejuruteraan Sdn. Bhd., serta semua kontraktor NSC yang telah memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan projek. Lebih membanggakan, projek pembinaan Klinik Pergigian Bukit Selambau ini telah berjaya disiapkan dan diserahkan lebih awal daripada tarikh penyiapan asal (Ahead of Time). Pencapaian ini mencerminkan kecekapan, komitmen serta kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disempurnakan dengan jayanya. Dengan terbinanya klinik pergigian ini, masyarakat setempat bakal menikmati kemudahan kesihatan pergigian primer, selesa dan mudah diakses. Kehadiran klinik ini bukan sahaja dapat memudahkan penduduk mendapatkan rawatan pergigian, malah turut menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat di kawasan Bukit Selambau dan sekitarnya. Semoga Klinik Pergigian Bukit Selambau terus menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian yang berkualiti, berkesan dan mesra rakyat.
🎉 Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh pasukan projek serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan projek ini!