MAJLIS PENYERAHAN PROJEK KLINIK KESIHATAN (JENIS 2) BANDAR SUNGAI PETANI (GANTIAN) – (KKBSP)
5 Oktober 2026 (Isnin)
Projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai telah siap pada 11 Ogos 2026. Oleh hal yang demikian, Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai Petani (Gantian) – (KKBSP) telah berlangsung dengan jayanya pada 5 Oktober 2026 dan disempurnakan dengan kehadiran YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh YB Mejar (B) Mansor bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, wakil Pengurusan Atasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Wakil Pengurusan Atasan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan Wakil Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Bagi pelaksana projek, turut hadir bagi majlis ini adalah Ir. Mohd Fisal Bin Ismail, Pengarah JKR Kedah selaku Pegawai Penguasa projek, Ir. Ts. Dr. Jeffryl Azniel Bin Adzar selaku Wakil Penguasa Utama, Wakil-Wakil pegawai Penguasa Pakar, kontraktor utama dan Subkontraktor Dinamakan.
Penyerahan projek ini merupakan satu pencapaian penting hasil kerjasama dan komitmen berterusan antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia dalam memastikan penyediaan kemudahan kesihatan yang berkualiti, selesa dan memenuhi keperluan masyarakat.
Projek KKBSP ini turut melibatkan penyerahan 12 komponen projek secara serentak (12 dalam 1), sekali gus mencerminkan keupayaan dan komitmen pihak pelaksana dalam menyempurnakan pembangunan infrastruktur kesihatan demi manfaat rakyat.
Dengan siapnya KKBSP ini, diharapkan kemudahan yang disediakan dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan dalam persekitaran yang lebih kondusif kepada pesakit, pengunjung dan warga kerja KKM, khususnya bagi masyarakat di Sungai Petani dan kawasan sekitarnya.
Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan dan penyerahan projek KKBSP. Semoga kemudahan yang disediakan ini terus memberi manfaat serta menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, berkualiti dan berkesan kepada rakyat.






